| QUOTE |
Menteri Singapura ‘jutawan’ Oleh Nurul Adlina Kamaludin Gaji Lee Hsien Loong atasi pendapatan pemimpin Amerika, Britain KERAJAAN jutawan. Itulah gambaran tepat mengenai barisan Kabinet Singapura berikutan pengumuman kerajaannya menaikkan gaji Menteri dan pegawai kanan sebanyak 60 peratus, tahun depan. Ia sekali gus menyaksikan purata gaji menterinya sebanyak S$1.2 juta (RM2.76 juta) setahun kepada kira-kira S$1.9 juta (RM4.3 juta). Gaji baru Perdana Menteri Lee Hsien Loong naik sehingga S$3.1 juta (RM7 juta) setahun berbanding S$1.94 juta (RM5.67 juta) yang diterimanya tahun lalu. Bapanya, Lee Kuan Yew yang kini berjawatan Menteri Mentor pula, seperti dilaporkan Straits Times, menerima gaji kira-kira S$2.7 juta (RM6.1 juta) setahun. Paling menarik, gaji Perdana Menteri Singapura itu lima kali lebih tinggi daripada pendapatan sekutu rapatnya, Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair. Bush misalnya menerima gaji tahunan AS$400,000 (RM1.4 juta) manakala Blair, RM1.29 juta setahun. Bukan setakat itu, Singapura yang berada di belakang Jepun sebagai negara kaya di Asia dari segi pendapatan per kapita rakyatnya, turut menyaksikan keadaan sebaliknya apabila gaji Lee terbukti lapan kali lebih tinggi berbanding gaji Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang menerima AS$240,000 setahun (RM1.26 juta), setahun. Peningkatan gaji Kabinet Singapura yang membabitkan dua kenaikan pada akhir 2008, bagaimanapun kurang sedikit daripada kenaikan sehingga S$2.2 juta (RM5.06 juta) yang disyorkan Lee pada 22 Mac lalu. Penduduk Singapura yang sebelum ini selamba, tanpa memberi reaksi, tiba-tiba berani menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kemunculan barisan Kabinet jutawan itu. Suara bantahan mereka itu dizahirkan menerusi surat pembaca di akhbar biarpun bahang kemarahan yang membuak-buak itu ternyata lebih ketara di internet, baik di blog serta laman web khas. Buktinya, satu laman web khas petisyen bantahan rakyat Singapura berhubung isu itu itu menerima hampir 3,000 tandatangan warga kota Singa, setakat petang semalam. “Kami membantah sekeras-kerasnya cadangan menaikkan gaji Menteri dan pegawai kanan lain. Selama ini pun mereka sudah menerima berjuta-juta bonus yang angkanya dirahsiakan ketika lebih 40 peratus rakyat biasa Singapura hidup susah dan gaji mereka sebaliknya terus berkurangan sejak dua dekad lalu. Bayangkan, Presiden Amerika yang tanggungjawabnya jauh lebih berat daripada pemimpin Singapura pun menerima gaji rendah,” kata kenyataan di laman web petisyen itu. Seorang rakyatnya dalam surat pembaca pula menulis “Saya yakin eksekutif kanan (syarikat gergasi tenaga Amerika) Enron dan Worldcom dibayar gaji lumayan. Tetapi, lihatlah di mana syarikat itu sekarang, sudah berkubur.” Jika diamati lebih dekat, rasa marah mereka itu ada rasionalnya. Bulan lalu saja, akhbar perdananya menyiarkan laporan yang menunjukkan 19.3 peratus isi rumah Singapura berpendapatan kurang S$24,000 (RM54,676) setahun. Kerajaan Singapura sendiri yang menyedari keadaan itu dalam pembentangan bajetnya Februari lalu, cuba menangani masalah berkenaan termasuk memberi bantuan kepada pekerja berpendapatan rendah. Ada rakyatnya yang terlalu miskin sehinggakan didakwa tidak mampu membeli rumah awam dan terpaksa hidup merempat – hakikat yang amat jarang dikaitkan dengan imej serba mewah Singapura selama ini. Apatah lagi, mereka sejak sekian lamanya lebih dikenali kerana identiti serba materialistik yang menilai kejayaan berdasarkan '5K' – kereta, kewangan, kondominium, kad kredit dan keahlian kelab. Tidak hairan, berita kenaikan gaji baru itu ibarat ‘bom’ yang bukan setakat mengejutkan rakyat Singapura, tetapi juga asing. Cubaan Lee meredakan kemarahan ramai dengan tawaran untuk membekukan kenaikan gajinya selama lima tahun, pula terbukti gagal setakat ini. Lebih memburukkan keadaan, kerajaan Singapura kelmarin bertindak melarang tujuh rakyat asing termasuk tiga ahli Parlimen Eropah daripada menyertai debat parti pembangkang mengenai kenaikan gaji menterinya itu. Tidak salah jika Lee serta barisan Kabinet jutawannya itu merenung kepada contoh beberapa pemimpin negara lain yang sanggup berkorban demi rakyatnya ketika susah. Presiden Bolivia, Evo Morales yang dikenali kerana imej berbaju sejuk berbanding kot mewah, sanggup memotong gajinya lebih separuh kepada cuma kira-kira AS$1,800 (RM6,300) sebulan, yang sebaliknya dikembalikan kepada rakyat. Alasannya, beliau mahu berkongsi bebanan rakyat miskin. Presiden Peru, Alejandro Toledo juga memotong gajinya sebanyak 55 peratus iaitu cuma AS$3,660 (RM12,810) sebulan - potongan ketiga sejak 2001, selepas menerima kecaman kerana bergaji mewah di negara miskin. Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang dikenali kerana bersuara lantang, tahun lalu mendedahkan aset miliknya – satu akaun bank kosong, sebuah kereta lama berusia 30 tahun dan rumah berusia 40 tahun, berukuran 175 meter persegi. Ahmadinejad, 49, yang memenangi pilihan raya presiden Jun 2005, berikrar menjadi 'presiden rakyat' dan sahabat si miskin dan tidak pernah lupa menegaskan kepentingan hidup bersederhana. Inilah antara contoh sebenar pemimpin rakyat yang sanggup berkorban ketika rakyat kesusahan. Mungkin itulah perasaan rakyat Singapura yang mahu melihat pemimpin mereka menyedari hakikat kesukaran hidup yang semakin membelenggu penduduk. Namun, berdasarkan perkembangan sekarang, tidak mustahil impian mereka tinggal harapan. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan cetusan hati rakyat kota Singa itu ibarat angin lalu yang lenyap begitu saja. Hanya masa membuktikan sejauh manakah sikap kiasu atau pentingkan diri sendiri pemimpin Singapura selepas ini. |
| QUOTE (Dato_Seri @ Apr 15 2007, 12:59 AM) |
| lebih kurang la dengan pemimpin malaysia... 2x5 |