Teguk arak di masjid
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
KUALA LUMPUR: Pegawai Masjid Jamek Kuala Lumpur, termasuk imam besarnya tidak senang duduk melihat masjid tertua di ibu kota itu menjadi tempat kutu rayau dan penagih dadah berkampung, tidur serta meneguk arak.
Keadaan lebih menjelikkan apabila kumpulan terbabit turut menjadikan ruangan solat umpama ‘rumah rehat’ mereka dengan tidur bergelimpangan tanpa menghiraukan nasihat dan teguran kakitangan rumah ibadat berkenaan.
Bilal masjid, Kamal Al Nahar Harun, 29, yang ditemui Harian Metro mendedahkan, dalam kes terbaru, seorang remaja Islam turut berkelakuan biadab apabila membawa arak dan meneguknya dalam kawasan masjid.
Menurutnya, perbuatan remaja terbabit bagaikan mencabar kesucian Islam, malah menghina masjid sebagai rumah Allah.
“Tindakan itu menyebabkan beberapa jemaah masjid segera menegur serta memberitahu, perbuatan itu haram. Bagaimanapun, remaja terbabit membuat muka selamba sebelum beredar dari masjid tanpa rasa bersalah,” katanya.
Kamal berkata, pernah juga imam besar masjid berkenaan, Muhammad Hatta Abdul Rahman, menegur sekumpulan lelaki yang melepak sambil membuka baju di dalam masjid.
“Tidak sekadar berkelakuan tidak senonoh, mereka yang dipercayai penagih dadah turut sewenang-wenang menghisap rokok beramai-ramai hingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan jemaah.
“Dengan sopan, imam terbabit menasihati kumpulan terbabit supaya tidak merokok dalam masjid, namun teguran itu sekadar dibalas dengan anggukan kosong tapi terus merokok,” katanya.
Imam masjid itu kemudian sekali lagi memberi nasihat, namun kali ini dibalas dengan tengkingan daripada remaja lelaki terbabit.
Kejadian Khamis lalu itu bagaikan mencabar kakitangan masjid berkenaan supaya mengambil tindakan tegas.
Menurutnya, golongan itu bukan datang ke masjid untuk beribadat atau bersolat, tetapi sekadar tidur sehingga menimbulkan ketidakselesaan di kalangan jemaah.
“Ada masanya lebih 100 individu mencurigakan datang melepak dan tidur dalam masjid, apatah lagi menimbulkan suasana jelik di kalangan pelancong asing yang datang melawat masjid ini yang dibina pada 1909,” katanya.
Menurutnya, paling mengecewakan apabila golongan itu langsung tidak menghormati laungan azan dengan terus tidur berdengkur seolah-olah tiada apa berlaku.
Menurutnya, kakitangan masjid tidak berani mengulangi teguran kerana bimbang keselamatan masing-masing berikutan ada di antara penagih terbabit membawa senjata tajam.
Difahamkan, gejala sosial yang menjejaskan imej masjid berkenaan menyebabkan jawatankuasa masjid terpaksa membuat aduan polis bagi membanteras kaki lepak terbabit.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Balai Polis Daerah (IPD) Dang Wangi melancarkan serbuan jam 2 petang semalam dan memberkas 42 kutu rayau dan penagih dadah yang nyenyak tidur dalam masjid berkenaan.
Dalam operasi pembersihan masjid itu, beberapa penagih cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi untuk ujian air kencing.