Oleh Syed Mu’az Syed Putra dan Noor Nastassia Mohamad Redza
Cipta lirik mencarut, maki-hamun dalam Internet
KUALA LUMPUR: Kecenderungan mencipta lagu berlirik lucah melalui Internet makin menjadi-jadi hingga mendapat sambutan hangat segelintir remaja yang menganggapnya trend masa kini untuk berhibur tanpa menghiraukan kesan negatif terhadap budaya ketimuran dan bahasa kebangsaan.
Lirik lagu itu yang banyak membicarakan keseronokan seks bebas selain berunsur humor dan memaki-hamun sebilangan orang boleh mengundang budaya tidak sihat di kalangan peminat.
Malah, lagu itu boleh dimuat turun secara percuma dari laman web sewenang-wenangnya sebelum menjadi bahan nyanyian dan nada dering telefon bimbit.
Ada lagu disertakan klip video yang dirakam pemilik laman web berkenaan dengan sebahagiannya memaparkan aksi bodoh remaja tertentu.
Siasatan Harian Metro mendapati pencipta lirik terbabit turut mengubah lirik lagu popular dengan mengeksploitasi dan menjatuhkan martabat wanita.
Difahamkan, kebanyakan pencipta lirik terbabit adalah remaja Melayu yang sengaja memilih seni kata merapu dan mengghairahkan sambil mempersendakan dan merosakkan bahasa kebangsaan.
Sebagai contoh, lirik lagu ‘My Humps’ nyanyian kumpulan Black Eyed Peas dialih bahasa kepada bahasa Melayu dengan lirik merapu dan mencarut sebelum disebarkan melalui Internet.
Antara sedutan liriknya, ‘they said i’m really teruk the boys want to g****, selalu nak k***k selalu nak ****k. Nak pegang p***k nak ****t ****k, kite pun nak tarik dia orang punya ****k’.
Selain itu, satu lagi lagu berunsur lucah berjudul ‘K**e Mat Gatal’ yang liriknya berbunyi: ‘semasaku berjalan, k*** ku berasa gatal, aku ‘check’ seluar dalam, rupanya ber***** tebal kerana k*** ber****, di dalam banyak kutu.’
Apa yang pasti unsur negatif disampaikan melalui lirik lagu itu boleh memberi kesan buruk kepada remaja.
Remaja yang menjadi sasaran utama kerana golongan terbabit mudah dipengaruhi, cetek pengetahuan agama dan tidak sedar kesan negatif yang dibawa boleh merosakkan diri sendiri.
Bagaimanapun, dua peminat lagu berkenaan, Mohd Syafiq Yusoff, 24, cuba mempertahankan kehadiran lagu sedemikian.
Dia berkata, liriknya lebih menceritakan gambaran sebenar yang berlaku di kalangan remaja sekarang.
“Walaupun lagu ini berunsur lucah, ia tetap mempunyai maksud tersendiri kepada mereka yang pernah mengalami situasi sama dengan penyanyi.
“Lagu yang dinyanyikan adalah ciptaan sendiri dan dengan cara ini, mereka boleh meluahkan perasaan kepada umum.
“Malah, lagu ini mempunyai peminatnya tersendiri di samping menggunakan melodi yang bagus untuk menarik minat pendengar,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Pendapatnya dipersetujui Mohd Iqbal Qarie Salleh, 22, yang mengatakan dia menggemari lagu berkenaan kerana melodinya menarik dan menghiburkan.
“Selain itu, saya anggap lirik yang ditulis adalah medan untuk meluahkan perasaan serta apa yang terbuku di hati, termasuk menggunakan unsur lucah di dalamnya,” katanya.
Katanya, usaha mencipta lagu berkenaan dapat menyedarkan orang ramai mengenai kesan negatif hubungan seks atau perbuatan sumbang yang semakin berleluasa di kalangan remaja dan ia mempunyai niat yang baik.