| QUOTE |
Pejuang guna Google BAGHDAD: Kumpulan bersenjata yang mensasarkan pangkalan tentera Britain di Basra menjadikan rakaman dari udara yang disiarkan oleh laman web Google Earth untuk serangan mereka, kata sumber perisikan tentera. Dokumen yang dirampas dalam serbuan ke atas rumah anggota kumpulan pemberontak minggu lalu mendedahkan cetakan dari gambar yang diambil dari Google. Gambar satelit itu menunjukkan dengan teliti bangunan di dalam pangkalandan kawasan terdedah seperti khemah penempatan, blok tandas dan di mana kenderaan diletakkan. Tertulis di belakang satu set gambar hotel Shatt al-Arab, ibu pejabat bagi 1,000 anggota tentera Rejimen Staffordshire, pegawai mendapati kiraan logistik tepat kem itu. “Ini adalah bukti bagi serangan pengganas yang dirancang. Kami bimbang ia menggunakan gambar itu untuk merancang serangan. “Kami tidak mempunyai bukti mereka sengaja mensasarkan sebarang kawasan kem menggunakan imej ini tetapi mengandaikan ia satu kegunaan penting bagi mereka. Kami percaya mereka menggunakan Google Earth untuk mengenal pasti kawasan paling terdedah,” kata sumber. Seorang anggota tentera terbunuh sejak enam bulan lalu berikutan serangan mortar dan beberapa yang lain cedera. Kem tentera Britain menghadapi serangan mortar dan roket setiap hari. Sumber perisikan juga percaya kumpulan penentang menerima latihan dan bekalan senjata dari Iran untuk memperbaiki skil mereka tetapi Britain mengumpul banyak maklumat mengenai krew mortar dan melancarkan beberapa operasi untuk menahan mereka. Jurucakap tentera Britain di Iraq, Mejar Charlie Burbridge, berkata: “Kami memandang serius keselamatan pangkalan dan kerap menilai cara memberikan penempatan yang selamat kepada anggota kami. “Terdapat ancaman berterusan untuk memasuki pangkalan dan penggunaan imej internet cuma satu lagi kaedah bagaimana ia dilakukan.” Terdapat juga laporan imej itu dijual kepada anggota militia di pasar di Basra, menurut laporan akhbar The Telegraph. Jurucakap Google berkata, maklumat seperti itu boleh digunakan untuk tujuan ‘baik dan buruk’ dan tersedia kepada orang awam dalam banyak bentuk. – Agensi |