| QUOTE |
| Laporan Asli tak betul: PM Oleh Kadir Dikoh PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan dakwaan Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (Asli) kononnya Bumiputera sudah mencapai ekuiti ekonomi sehingga 45 peratus sebagai tidak bertanggungjawab. Perdana Menteri berkata, laporan kajian Asli yang menganggap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai syarikat Bumiputera boleh mengundang kemarahan bukan Bumiputera, sedangkan syarikat nomini milik Bumiputera cuma 13 peratus. Beliau berkata, maklumat dan asas yang digunakan Asli tidak betul dan kesimpulan kajian yang menyimpang itu menimbulkan reaksi tidak baik sehingga mencetuskan tuduh menuduh di kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Asli, katanya, menggunakan pendekatan berasaskan kajian ke atas 1,000 syarikat saja sedangkan maklumat diperoleh melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan dokumen kerajaan ketika mahu membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), berasaskan kajian terhadap 600,000 syarikat. “Ini membabitkan pangkalan data yang cukup luas,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF) kelima di sini, semalam. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, angka sebenar ekuiti ekonomi Bumiputera sekarang hanya 18.9 peratus. Baru-baru ini, laporan kajian Asli berjudul ‘Pengagihan Ekuiti Korporat - Arah Aliran Lalu dan Polisi Masa Depan’ mendakwa Bumiputera sudah mencapai ekuiti ekonomi sehingga 45 peratus. Bagaimanapun, laporan itu dipertikaikan beberapa tokoh ekonomi dan ahli akademik yang rata-ratanya menyifatkan kaedah penyelidikan dan sumber data yang diguna Asli sebagai tidak tepat. Abdullah berkata, apabila disebut kajian terhadap lebih 300 syarikat nomini, sebenarnya 60 peratus terdiri daripada bukan Bumiputera. “Syarikat nomini milik Bumiputera cuma 13 peratus. Bila maklumat tak betul, asas tak betul, tentulah kesimpulan tak betul. Kesimpulan itu tak diteraskan pada asas perbincangan atas forum yang dibuat oleh badan ‘think tank’ terkenal seperti Asli. “Ini akan menimbulkan pelbagai reaksi dan persoalan tidak baik, mungkin tuduh menuduh. Tindakan bentangkan kertas (kajian) itu menyimpang dari segi kajian. Kesimpulan tak betul adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya. Perdana Menteri juga menjelaskan, GLC bukan syarikat Bumiputera tetapi syarikat kerajaan dan semua keuntungan diserahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi keperluan negara dan rakyat. “Itu adalah satu perkara yang perlu diambil kira. Kalau orang anggap GLC syarikat Bumiputera, itu tak betul. Siapa kata GLC syarikat Bumiputera,” katanya. Mengenai RMK-9, Abdullah berkata, lebih 50 projek di peringkat pelaksanaan sudah dikeluarkan tender dan menjangkau 200 projek menjelang akhir tahun ini. Beliau berkata, pihaknya sudah mewujudkan pasukan untuk memastikan projek RMK-9 dipercepatkan, antaranya penyemburan luaran bagi kerja teknikal untuk mempercepatkan reka bentuk seni bina dan teknikal berikutan keupayaan Jabatan Kerja Raya (JKR) agak berkurangan. Abdullah berkata, mesyuarat NITF turut membuat keputusan untuk memperbaiki lagi mutu pendidikan di kawasan luar bandar melalui Kementerian Pelajaran termasuk menambah peralatan, makmal, komputer, bekalan elektrik dan air. “Kita nak bagi apa yang diperlukan secukupnya. Ada kawasan yang amat berjauhan, jadi perlu usaha gigih untuk dapatkan guru berkhidmat di kawasan itu. Mungkin kementerian boleh cadang apakah insentif yang boleh diberi pada guru yang bekerja di kawasan pedalaman, seperti Sabah dan Sarawak,” katanya. NITF ditubuhkan April lalu untuk memantau dan menyelaras pelaksanaan RMK-9, khususnya projek yang mempunyai impak tinggi kepada rakyat. |
| QUOTE (bUjaNg^LaPoK @ Oct 6 2006, 10:18 AM) |
| truknye Asli tuh.. mmg tahap batak btoi.. |
| QUOTE |
| Asli mohon maaf, mengaku buat kesilapan Oleh Abdul Halim Yusoff dan Sazarina Shahrim KUALA LUMPUR: Institut Kepemimpinan dan Strategi Asia (Asli) semalam mengaku wujud kelemahan dalam proses mengumpul maklumat dan membuat rumusan bagi laporannya mengenai Bumiputera menguasai 45 peratus ekuiti korporat Malaysia. Sehubungan itu, Asli menyatakan kesalnya dengan kekeliruan dan kekecewaan yang ditanggung rakyat Malaysia disebabkan laporan itu, yang tidak mencerminkan keadaan sebenar mengenai pegangan ekuiti Bumiputera di negara ini. Presidennya, Mirzan Mahathir, berkata wujud kelemahan dalam proses menyediakan laporan itu termasuk dari segi pengiraan dan tanggapan yang menyebabkan kesimpulannya sukar dipertahankan. “Asli tidak pernah memperjuangkan agenda selain membantu mewujudkan masyarakat lebih baik menerusi pemikiran strategik dan kepemimpinan berkualiti,” katanya dalam kenyataannya di sini semalam. Mac lalu, Asli menerbitkan laporan Pengagihan Ekuiti Korporat - Arah Aliran Lalu dan Polisi Masa Depan, yang antara lain merumuskan Bumiputera sudah menguasai 45 peratus ekuiti korporat, jauh lebih tinggi daripada sasaran Dasar Ekonomi Baru. Mirzan berkata, laporan itu dibuat sebagai sebahagian daripada cadangan Asli untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sebagai input dalam merangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Bagaimanapun, laporan itu dipertikaikan tokoh ekonomi, akademik dan politik yang menyifatkan kaedah penyelidikan dan sumber data diguna Asli tidak tepat. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menyifatkan kajian itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana maklumat dan asas yang digunakan tidak betul serta kesimpulan kajian itu menimbulkan reaksi tidak baik sehingga mencetuskan tuduh menuduh di kalangan masyarakat majmuk. Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menganggap laporan Asli itu sebagai sampah dan tidak perlu dikeluarkan. Mirzan berkata, Asli dengan rendah hati, menerima semua kritikan yang dilemparkan terhadap organisasi itu dengan hati terbuka. Beliau berkata, berikutan pemilikan 30 peratus ekuiti korporat adalah salah satu sasaran utama DEB, kaedah pengukuran yang boleh dipercayai terhadap kejayaan kerajaan memenuhi sasaran itu amat penting. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Asli, Datuk Dr Michael Yeoh, berkata pihaknya sudah menghantar surat penjelasan berhubung laporan itu kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Jumaat lalu. “Asli bercadang menemui Perdana Menteri bagi menjelaskan kekeliruan itu,” katanya yang enggan mengulas lanjut ketika ditemui selepas Persidangan Kemuncak Utiliti Nasional Ketiga di sini, semalam. |