Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengumumkan dua nama yang akan menjalani latihan sebagai angkasawan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Rusia selama 18 bulan selepas ini.
Seorang daripada dua calon akhir itu dijadual berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) September tahun depan, manakala seorang lagi sebagai calon simpanan.
Empat calon angkasawan negara yang berjaya mara ke peringkat saringan terakhir ialah pegawai perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, 34, jurutera, S. Vanajah, 35, pakar pergigian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kapten Dr. Faiz Khaleed, 26 dan juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) Mohammed Faiz Kamaluddin, 34.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan keempat-empat mereka mempunyai keistimewaan tersendiri walaupun pada asasnya sudah pun memiliki pakej sebagai seorang angkasawan.
Laporan itu dibuat berdasarkan penilaian beberapa pakar perubatan yang melihat keistimewaan tersebut satu aset dan mungkin mampu mempengaruhi keputusan panel pemilihan dalam menentukan dua calon terakhir.
Dalam laporan berkenaan, Mohammed Faiz dilihat sanggup memberikan komitmen tinggi walaupun sudah berkeluarga dan mempunyai kerjaya stabil.
Faiz pula selain kerjaya tetap sebagai pegawai tentera, mempunyai masa depan lebih cerah dalam bidang angkasa lepas disebabkan usia yang masih muda.
Sementara Sheikh Muszaphar memiliki sifat matang serta sanggup memberikan komitmen walaupun stabil dari segi kewangan.
Vanajah pula merupakan seorang wanita yang begitu cekal sehingga mampu mengatasi calon lelaki dan komited walaupun memiliki kerjaya stabil.
arap, Sheikh tuh dpt, pasal dia ensem..