| QUOTE |
| Pakaian mandi wanita tutup aurat di Turki ISTANBUL: Pantai di Turki yang dipenuhi wanita memakai bikini atau lebih berani menayangkan payu dara ketika berjemur, kini menyaksikan fenomena baru – pakaian mandi menutup tubuh dari leher ke buku lali yang dipakai oleh semakin ramai wanita Islam. Malangnya, perkembangan itu semakin membimbangkan golongan sekular negara berkenaan dan terdapat laporan pengawal pantai menghalau wanita yang memakai pakaian mandi menutup tubuh itu dari mendekati pantai. Wanita yang menitikberatkan pegangan agama jarang mengunjungi pantai dan jika ke sana pun, mereka tidak mandi kerana tidak sanggup mendedahkan tubuh di khalayak ramai. Bagaimanapun, kemunculan pakaian mandi menutup tubuh itu memberi peluang kepada golongan wanita berkenaan mengunjungi pantai. Lebih 25,000 pakaian mandi itu dijual tahun lalu dan membuatkan syarikat pengeluarnya, Hasema, terpaksa berusaha keras untuk memenuhi permintaan. Isteri kepada Menteri Luar Turki, Hayrunnisa Gul, ialah antara pelanggan syarikat itu. Pakaian mandi itu boleh didapati dalam pelbagai warna dan bentuk dan versi terbarunya membenarkan matahari memancar terus menembusi pakaian itu dan membolehkan kulit si pemakai bertukar perang. Kemunculan baju mandi itu hebat dibahaskan dengan seorang penulis terkemuka Turki, Reha Muhtar, mencetuskan kontroversi apabila menggambarkan ia sebagai ‘aneh’ dan seorang lagi kolumnis, Ahmet Hakan, pula melabelkan baju mandi itu sebagai ‘bodoh, tiada cita rasa dan pelik.’ Pakaian wanita di Turki menjadi satu persoalan politik sejak pengasas Turki moden, Mustafa Kamal Ataturk yang menjadikan negara itu sekular, mengharamkan pemakaian tudung di sekolah dan universiti serta bagi pekerja awam. – Agensi |


